PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia teruja dengan prospek bertemu rakan senegara, Ng Tze Yong pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad depan.
Dia yang juga juara Asia percaya peminat-peminat pastinya mengharapkan pertemuan itu memandangkan mereka mahu menyaksikan dua pemain terbaik Malaysia membuat perhitungan pada kejohanan tersebut.
Menjelang pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung hari ini, Zii Jia yang merupakan pemain No.2 dunia akan membuat perhitungan dengan pemain utama Jepun, Kodai Naraoka meskipun pada awalnya dia dikatakan mahu menarik diri.
“Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sangat menarik untuk peminat Malaysia apabila dua pemain terbaik negara beraksi menentang antara satu sama lain. Sudah tentu semua orang mahu menyaksikan perlawanan ini.
“Tze Yong ketika ini sedang melalui apa yang saya pernah hadapi sebelum ini. Dia seorang pemain yang bijak dan saya percaya dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasinya,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Dalam pada itu, Tze Yong yang merupakan pemain No.1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tekad untuk menyajikan aksi terbaik sekiranya berpeluang untuk bertemu Zii Jia pada pusingan kedua nanti.
Bagaimanapun, dia perlu melepasi halangan pemain Ireland, Nhat Nguyen yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pada pusingan pertama hari ini.
“Jika ditakdirkan berdepan satu sama lain, sudah tentu kami akan tampilkan aksi terbaik selain memberikan tentangan sengit pada perlawanan itu nanti. Kalau diikutkan, sudah tentu saya mahu menang,” ujar pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu.