JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperluas bidang penyelidikan dan pembangunan bidang siasatan jenayah melalui penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM-PDRM.
Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, penubuhan makmal satelit itu sejajar dengan inisiatif UTM enVision 2025 berdasarkan tiga teras strategik yang berkaitan.
“Tiga teras itu adalah dalam penghasilan bakat holistik bertaraf dunia untuk memperluas bidang pendidikan dan penyelidikan, pengembangan institusi menerusi kebitaraan yang unik dan khusus untuk kelestarian masa panjang dan transformasi pengalaman hidup menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan dan kepercayaan,” katanya selepas majlis perasmian yang disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Sementara itu, Acryl Sani pula memberitahu, kerjasama strategik itu mampu meningkatkan usaha PDRM khususnya pihak Jabatan Siasatan Jenayah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Ini dapat memperkemas lagi siasatan dalam bidang forensik, seterusnya menyumbang kepada dapatan ilmiah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya ringkas.-KOSMO! ONLINE