fbpx

Sengaja, Amir Masdi tunaikan hasrat ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUANG bekerjasama dengan Hang Nadim menerusi lagu Sengaja sekali gus menyempurnakan hasrat ibu Amir Masdi yang mahu melihat dia menyanyikan karya ciptaan komposer itu.

SETELAH enam tahun, penantian Amir Masdi untuk menunaikan hasrat ibu melihat dirinya menyanyikan karya komposer Hang Nadim akhirnya tercapai menerusi lagu Sengaja.

Gembira dan bersyukur, penyanyi berusia 27 itu menyifatkan dirinya bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan dan restu daripada ibunya.

“Selama enam tahun bergelar anak seni, ibu selalu mengingati saya untuk mendapatkan lagu daripada Hang Nadim. Ibu teringin nak melihat saya menyanyikan sebuah lagu daripada Hang Nadim.

“Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur bila dapat sokongan serta restu daripada ibu. Jadi, dengan restu ibu, usaha saya dan pasukan, alhamdulillah apa yang diimpikan kami selama ini kini menjadi kenyataan,” katanya.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu Sengaja apabila kali pertama mendengar demo karya tersebut.

“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya rasakan Sengaja sebuah lagu yang sangat bagus. Lagu ini mengisahkan seorang individu yang memendam perasaan di mana dia meluahkan dalam lagu ini bahawa dia selalu dipersalahkan.

“Apa sahaja yang dibuat pasti dia akan dipersalahkan. Jadi, dia meluahkan perasaan geram dalam lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik, Amir berkata, semuanya bermula daripada pihak pengurusan dan syarikat rakamannya.

“Sebenarnya, saya tak berhubung secara langsung dengan Hang Nadim untuk minta sebarang lagu. Sebaliknya hanya minta tolong pihak pengurusan dan syarikat rakaman untuk bertanyakan kepada Hang Nadim.

“Tapi, jawapan itu tak dapat dalam masa yang singkat mungkin kerana saya masih belum cukup bersedia ketika itu atau ada sebab lain. Walau apapun sebabnya, saya percaya sebab itu akhirnya mendorong kepada hasil yang lebih baik,” katanya.

Tambah pelantun lagu Asmara itu lagi, peluncuran Sengaja sesuai dengan waktu dan momentum karier seninya pada ketika ini.

Bahkan, pengalaman bekerja dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik sangat memudahkan kerja kerana kedua-dua suami isteri itu sangat profesional.

“Bunga Cantik sangat menekankan karakter saya dalam lagu dan suara. Dia selalu bertanya pendapat saya dan beri kebebasan untuk saya buat keputusan.

“Kebanyakan idea dan pembikinan lagu ini datang daripada mereka dan saya cuba sampaikannya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Akim Ahmad yang menggunakan nama Hang Nadim atau isterinya, Bunga Cantik (Stacy) mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu buat Amir disebabkan ingin memberikan hasil terbaik.

“Sebenarnya lama juga Amir minta lagu daripada kami. Cuma kami tak dapat penuhi permintaan itu sebab masih belum jumpa material yang sesuai.

“Kami mahu hasilkan lagu yang benar-benar sesuai dengan Amir dan berharap lagu ini dapat beri kebaikan dalam perjalanan seninya,” katanya.

Meskipun masing-masing memiliki kehendak yang berbeza, namun mereka sentiasa berbincang dan menggabungkan pendapat masing-masing supaya mendapat hasil terbaik.

“Perkara ini agak sukar, kadang-kadang kami akan bertekak. Bukanlah bergaduh, tapi mahu mencari kesepakatan itu yang sukar. Kami memerlukan masa juga untuk mendapat sesebuah lagu itu,” katanya.

Single Sengaja terbitan Nova Music dilancarkan pada hari ini dan boleh distrim menerusi semua pelantar penstriman digital.

Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton dalam saluran YouTube Nova Music Vidoes pada hari dan waktu yang sama. – KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI