fbpx

K2

RCSEd komited tingkat tahap kesihatan penduduk pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR HISHAM (tiga dari kiri) sewaktu perasmian Simposium Pembedahan Aortik di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

SEBUAH persidangan yang memfokuskan kesejahteraan kesihatan penduduk di kawasan terpencil telah diadakan pada Disember lepas.

Dikenali sebagai Tripartite Conference on Healthcare Challenges in the 21st Century, persidangan itu dianjurkan oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) bersama The Academy for Silent Mentor (AFSM), The College of Surgeons Academy of Medicine of Malaysia (CSAMM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk makluman, RCSEd merupakan salah satu organisasi pembedahan tertua di dunia yang mempunyai lebih 30,000 ahli di seluruh dunia.

Majoriti ahlinya menjalani latihan di United Kingdom dengan 11,000 profesional yang berpangkalan di England dan Wales.

Selain itu, RCSEd antara kolej yang mempromosikan piawaian tertinggi amalan pembedahan dan pergigian melalui pendidikan, latihan serta peperiksaan,

Ia mendapat kerjasama badan perubatan luar serta perwakilan tenaga kerja pembedahan dan pergigian moden.

RCSEd telah dilantik sebagai wakil felo dan keahlian di peringkat antarabangsa pada persidangan yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo (BCKK) di Kuching, Sarawak itu.

Persidangan selama dua hari yang berlangsung secara serentak di tiga dewan simposium berbeza di BCKK itu telah menerima penyertaan lebih daripada 400 peserta.

Menariknya, ia dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Prof. Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Melalui Faculty of Remote, Rural and Humanitarian Healthcare (FRRHH), RCSEd telah mengambil langkah untuk menerajui dalam mentakrif dan menetapkan piawaian kecekapan kepada organisasi serta individu yang terlibat dalam penjagaan kesihatan di kawasan mencabar.

Penganjuran simposium berkaitan Penjagaan di Kawasan Terpencil, Luar Bandar dan Kemanusiaan, serta Penjagaan Trauma merupakan antara inisiatif RCSEd serta sebahagian daripada agenda persidangan itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif FRRHH, Andrew Kent serta ahli Majlis Profesor Negara, Angus Watson telah membentang kertas kerja pada simposium itu.

KOLEJ RCSEd mempromosikan piawaian tertinggi amalan pembedahan dan pergigian melalui pendidikan, latihan serta peperiksaan.

Menurut Angus, penjagaan kesihatan kemanusiaan perlu merangkumi standard kecekapan yang ditetapkan oleh organisasi serta staf perubatan.

“RCSEd komited untuk meningkatkan tahap kesihatan individu terutama yang tinggal atau bekerja di kawasan luar bandar.

“Penyediaan penjagaan kesihatan dan pembedahan serta latihan pakar bedah yang terbaik di kawasan komuniti terpencil sentiasa menjadi kepentingan kami,” ulasnya.

Angus turut menekankan keperluan menempatkan pengamal perubahan yang memiliki kemahiran dalam disiplin pembedahan seperti ortopedik, obstetrik dan pembedahan am serta ginekologi di kawasan mencabar seperti pedalaman.

“Kami juga tidak sabar untuk membandingkan nota mengenai penyampaian penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama oleh Yayasan Mercy mengenai langkah yang diambil apabila menghadapi bencana alam dengan pihak luar,” tambah Angus.

Sementara itu, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut berkongsi mengenai keperluan akses berpatutan kepada perkhidmatan pembedahan dan anestesia di seluruh negara termasuk penduduk kawasan terpencil.

KKM yang juga merupakan salah satu kolaborator RCSEd tidak ketinggalan berkongsi pengalaman mereka membendung penularan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Ia termasuk keberkesanan langkah-langkah yang telah digunakan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan itu telah menjadi titik tengah buat pakar-pakar membincangkan cara meningkatkan tahap perkhidmatan bagi penduduk luar bandar mendapatkan akses penjagaan kesihatan yang setara dengan penduduk di kawasan bandar.

Diharapkan melalui amalan yang inovatif dan dinamik, RCSEd akan dapat mempromosikan serta membangunkan komuniti profesional berkaitan penjagaan kesihatan global yang beroperasi merentasi sektor awam serta swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI