SEJAK bulan lalu sampailah kini, kadar kemasukan pelancong ke negara kita boleh dikatakan sudah kembali seperti sedia kala. Tidak setakat pintu sempadan negara dibuka seluas-luasnya, kita sebagai rakyat tempatan juga dilayan sama di negara lain.
Berbeza dua tahun sebelum ini, hendak bercuti pun susah angkara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Jangan kata hendak bawa buku merah ke luar negara, nak bergerak dalam negeri sendiri pun dihalang.
Selepas semuanya hampir selesai dan negara juga memasuki fasa endemik, boleh dikatakan semua sektor yang dahulunya suram, kembali bernafas seperti sedia kala.
Paling dinanti-nanti dan mendapat sambutan hangat adalah sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.
Kapal terbang yang lama tersadai sudah mula meluncur laju di awan biru terutama selepas pintu sempadan negara dibuka peringkat demi peringkat.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong khususnya dari luar ke negara bertuah ini.
Katanya, misi tersebut selari dengan aspirasi kerajaan untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan dalam negara yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.
“Sebagai contoh, sekarang ini Tourism Malaysia giat mempromosikan Malaysia khususnya Putrajaya sebagai lokasi wajib kunjung terutama buat mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini.
“Menjadi bandar yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan bertaraf dunia, promosi pelancongan Putrajaya harus terus dipertingkatkan.
“Kami berharap semua pelancong terutama dari negara luar dapat memberikan kerjasama erat menerusi penjagaan kesihatan kendiri agar tidak membawa kepada kemudaratan,” katanya.
Zainuddin berkata, seiring pembukaan semula sektor pelancongan secara keseluruhan bermula April tahun lalu, jumlah kehadiran pelancong luar ke negara begitu memberangsangkan, sekali gus menyumbang kepada margin pendapatan negara.
Pun begitu pesan Zainuddin lagi, seiring dengan galakan produk pelancongan dalam negara, perlu diingatkan Covid-19 masih lagi wujud dan kini Malaysia diancam dengan dua lagi varian terbaharu dari China.
“Besar harapan saya untuk kita sama-sama menjaga kawalan kesihatan kendiri secara optimal.
“Kita tidak mahu episod hitam lama berulang kembali dan negara menerima tempias kerugian daripada penutupan semua sektor terutama pelancongan,” ujarnya.
Senada dengan Zainuddin ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.
Ujarnya, orang ramai diingatkan supaya bersikap jujur dengan melakukan ujian kendiri sekiranya mengalami gejala Covid-19 sebelum memulakan sebarang perjalanan atau percutian di mana-mana destinasi.
Saranannya agar mereka yang tidak bergejala turut melakukan ujian kendiri, sekali gus mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang kembali memburuk rentetan kedatangan gelombang dua varian terbaharu dari China iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang dikesan berada di negara ini.
Lebih membimbangkan katanya, varian berbahaya tersebut dikesan sebaik sahaja China mengumumkan untuk membuka kembali pintu sempadannya bermula 8 Januari lalu setelah hampir tiga tahun ditutup akibat Covid-19.