MANCHESTER – Tekanan kian memuncak buat pengurus Chelsea, Graham Potter selepas dibelasah Manchester City 4-0 pada pusingan ketiga saingan Piala FA yang berlangsung di Etihad awal pagi semalam.
Lebih parah, keputusan itu menyaksikan The Blues tersingkir buat kali pertama di pusingan ketiga dalam kejohanan tersebut sejak kempen 1997/98, sekali gus membangkitkan kemarahan penyokong.
Dalam pada itu, penyokong-penyokong Chelsea turut meluahkan kekecewaan pada perlawanan tersebut apabila melaungkan nama bekas pengurus, Thomas Tuchel serta pemilik terdahulu, Roman Abramovich.
“Keputusan begini dalam tempoh masa singkat bukanlah satu perkara yang positif. Anda boleh berikan macam-macam alasan, namun ia boleh menjadi sesuatu yang tidak baik untuk pasukan.
“Apa yang jelas adalah kami sedang menderita dan ia bukan perkembangan baik untuk kelab. Bagaimanapun, harus diakui itulah keadaan sebenar yang sedang dialami Chelsea,” kata bekas pengendali Brighton itu.
Pada perlawanan tersebut, City menjaringkan empat gol menerusi dua jaringan Riyad Mahrez serta masing-masing satu gol Julian Alvarez dan Phil Foden, manakala Chelsea hanya melakukan satu percubaan tepat sepanjang 90 minit permainan.
Potter mengakui, beliau faham dengan kekecewaan yang diluahkan para penyokong memandangkan Chelsea mengharungi aksi buruk apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam lapan aksi terakhir.
“Kami faham mengenai kekecewaan penyokong, namun tiada apa yang boleh kami lakukan. Tugas pemain sekarang adalah untuk terus bekerja keras kerana mereka juga kecewa dengan situasi semasa pasukan,” ujarnya. – AGENSI