PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2022 akan dilaksanakan pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari serta 2 Februari depan melibatkan seramai 4,634 orang calon yang telah berdaftar.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan STAM tahun 2022 itu akan dijalankan di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM tahun 2022 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan STAM tahun 2022 boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.
“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KPM, calon kuga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM tahun 2022. – KOSMO! ONLINE