fbpx

Pengayuh beca warga emas hanya dapat RM300 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
salah sebuah beca yang dihias indah untuk menggamit pelanggan di sekitar Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Biarpun dimamah usia dan sambutan tidak segah dahulu, ia sama sekali tidak mematahkan sema­ngat pengayuh beca di sini untuk terus mempertahankan warisan tersebut ditelan masa.

Setiap hari, lebih 20 pengayuh beca yang rata-ratanya berusia 50 tahun ke atas tetap setia me­nunggu pelanggan di pekarangan Pasar Besar Kedai Payang di sini.

Salah seorang pengayuh beca, Abdul Wahab Abdul Rahman, 77, berkata, secara purata me­reka meraih pendapatan antara RM250 hingga RM300 sahaja sebulan.

“Minggu pertama tahun ini, saya baru dapat RM10. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelancong.

“Itu pun tidak berapa ramai, kebanyakannya hanya mahu bergambar dengan beca saya. Sebahagian menghulurkan sedikit wang sebagai tanda penghargaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! baru-baru ini me­laporkan, kerajaan negeri Te­rengganu berhasrat mahu memberi wajah baharu kepada perkhidmatan beca dan bot penambang yang menjadi wari­san bandar raya ini.

Abdul Wahab berkata, begitupun kurang pelanggan, ia tidak mematahkan semangat dia dan rakan-rakan lain untuk terus menawarkan perkhidmatan beca selagi hayat dikandung badan.

Ujarnya yang mengayuh beca sejak lebih 40 tahun lalu, pekerjaan itu sudah sebati dan memberi kepuasan kepadanya dan wang bukannya keutamaan.

Seorang lagi pengayuh beca, Zahid Ismail, 74, pula bersyukur kesudian kerajaan negeri Terengganu menghulurkan insentif se­kali bayar berjumlah RM1,200 kepada mereka.

Dia berkata, insentif itu amat melegakan dan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kos sara hidup yang semakin menekan pada masa ini.

“Memang mengayuh beca sudah jadi darah daging kami tetapi keluarga masih perlu disara, bil-bil juga perlu dibayar.

“Insentif ini juga akan kami gunakan untuk menghias beca. Semoga dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk menaiki­nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI