fbpx

Pengambilan pekerja asing dalam tempoh 3 hari -Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin dan Sivakumar pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang akan membolehkan majikan menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat dalam satu Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa kelonggaran tersebut tidaklah bersifat kekal sebaliknya diperlukan kerana negara sedang berdepan situasi luar jangka bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara.

“Menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ini, majikan diberi jaminan kelulusan permohonan dalam tempoh tiga hari namun kelulusan tersebut adalah bersifat bersyarat apabila majikan perlu patuh kepada proses naziran secara berkala.

“Pelan ini berkuat kuasa serta merta namun maklumat terperinci mengenai pelaksanaanya akan dimaklumkan menerusi siaran akhbar dalam masa terdekat,” katanya pada satu sidang akhbar Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas mesyuarat selesai hari ini.

Ujar beliau, mesyuarat tersebut dilaksanakan susulan kepada keputusan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pada 7 dan 21 Disember lalu yang bertujuan untuk memudah cara kemasukan pekerja asing bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada
tahun 2023, khususnya pada suku pertama tahun 2023.

“Dianggarkan bahawa ekonomi negara akan meningkat sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekiranya kemasukan pekerja asing dipercepatkan untuk
memenuhi keperluan sektor-sektor yang berkaitan,” katanya.

Tambah Saifuddin, mesyuarat juga juga telah bersetuju dengan pelanjutan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0 khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga Disember depan.

“Sebelum ini Pelan Rekalibrasi PATI dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022 dengan pendaftaran PATI seramai 418,649 orang bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang PATI bagi Program Rekalibrasi Pulang.

“Perbezaan pada Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 ini adalah penetapan syarat-syarat yang lebih fleksibel tanpa mengenepikan elemen keselamatan dalam negara,” ujar beliau.

Katanya, program tersebut juga akan mampu menyediakan tenaga kerja daripada pekerja asing sedia ada dalam negara dan mereka hanya hanya perlu tampil mendaftar, membuat bayaran tertentu dan seterusnya dibenarkan bekerja.

“Caj-caj tertentu akan dikenakan kepada mereka yang didapati tidak memiliki dokumen lengkap, tinggal lebih masa dan sebagainya dan menerusi ini sahaja telah menjana lebih daripada RM700 juta kepada kerajaan tahun lalu.

“Rekalibrasi ini akan melibatkan semua pekerja warga asing daripada pelbagai sektor yang berada di Malaysia dan mereka juga boleh memilih untuk pulang ke negara asal atau terus bekerja di Malaysia,” jelas beliau.

Tambah beliau, kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang dan pada masa yang sama menjamin semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI