MELBOURNE – Juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka membuat keputusan mengejut apabila menarik diri untuk menyertai Terbuka Australia 2023.
Jaguh tenis berusia 25 tahun dari Jepun tersebut merupakan juara dua kali Terbuka Australia (2019, 2021) dijangka turun sebagai pencabar kejuaraan pada tahun ini.
Bagaimanapun, pada saat ini tidak pasti sebab utama Osaka bertindak sedemikian walaupun dia tidak bermain sejak menarik diri daripada Terbuka Pan Pacific di Tokyo September lalu.
“Naomi Osaka menarik diri untuk menyertai Terbuka Australia. Dayana Yastremska akan berada dalam senarai undian utama,” kata penganjur kejohanan.
Kelibat Osaka juga tidak kelihatan pada aksi pemanas badan Adelaide dan Hobart sekali gus timbul keraguan mengenai keadaan pemain Jepun tersebut.
Sebagai rekod, Osaka mengharungi cabaran sukar pada aksi Grand Slam sepanjang 2022 apabila tewas pada pusingan pertama di di Terbuka Perancis dan Terbuka AS.
Dia juga terkeluar pada pusingan ketiga Terbuka Australia tahun lalu dan tidak bertanding di Wimbledon kerana mengalami kecederaan Achilles.
Selain Osaka, Venus Williams juga tidak mengambil bahagian di Terbuka Australia atas faktor kecederaan. – AGENSI