PETALING JAYA – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof mengharapkan agar kedua-dua isterinya iaitu Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar bertenang serta banyak bersabar.
Perkara tersebut dimaklumkan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, sebentar tadi.
“Morning (pagi)! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” coret pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menerusi Instagram.
Menjengah ruangan komen, reaksi pelbagai dilontarkan khalayak dan kebanyakan kaum lelaki memuji tindakan Syamsul yang kekal tenang walaupun ditimpa ujian dalam rumah tangga.
“Fuh, idola. Chill (tenang) dan steady (bersahaja) bos. Tenang is good (Tenang itu bagus),” demikian antara komen netizen.
Terdahulu, Syamsul akhirnya mendedahkan sudah bernikah dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi iaitu Ira Kazar di Thailand pada Jumaat minggu lalu.
Pendedahan tersebut membuatkan isteri pertamanya, Puteri Sarah menarik nafas lega kerana suaminya sudah mengaku berkahwin dua namun memberitahu banyak perkara yang tidak benar didedahkan Syamsul dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.
Sarah, 38, menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang pengecut dan mendedahkan dia telah disekat oleh Syamsul dalam aplikasi WhatsApp selama setahun. – KOSMO! ONLINE