fbpx

Mahkamah: Tuntutan palsu Perkeso, CEO wanita pula didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorun Nashriah ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) wanita sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000.

Bagaimanapun tertuduh Noorun Nashriah Ramli, 41, yang merupakan CEO sebuah syarikat yang mengendalikan program latihan itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh tertuduh didakwa sebagai CEO sebuah syarikat melalui seorang individu telah memberikan suatu dokumen bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya yang kesemuanya berjumlah RM112,000 kepada empat pegawai Perkeso.

Ia dengan niat hendak memperdayakan Perkeso yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu mengenai Program Latihan Insentif Pekerja (Penjana) yang mana tuntutan program dibuat walaupun tidak dihadiri oleh peserta yang berdaftar dengan Perkeso.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Mohammad Shaiful Nasir menawarkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan mahkamah selain melapor diri di pejabar SPRM sekali sebulan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seoang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dikemukaman pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu dua Mahkamah Sesyen lain seorang pengusaha kantin sekolah Amir Shariffuddin Haron, 56, dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, 34, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM78,700.

Kedua-dua tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama sebuah syarikat melalui seorang lelaki kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso bagi menuntut insentif tersebut.

Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja dua syarikat berkenaan, yang didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini masing-masing pada 5 Mac dan 1 Jun 2021.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 manakala Hakim Suzana Hussin membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama dan sebutan semula kes masing-masing ditetapkan pada 14 Februari dan 10 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI