fbpx

Lebih 50 tahun bertahan, pasar ikonik Kampung Jawa akan ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasar ikonik Kampung Jawa, Melaka akan ditutup Mei depan. FOTO/ SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Selepas lebih separuh abad kewujudannya di Kampung Jawa, di sini, pasar tempatan ikonik yang menjadi tempat golongan marhaen membeli pakaian dan keperluan lain akhirnya dilaporkan akan ditutup pada Mei depan.

Menurut seorang peniaga, Sulaiman Omar, 61, rata-rata peniaga di situ masih terpinga-pinga dengan pemakluman tersebut kerana kebanyakan mereka telah bertapak lebih 40 tahun dan tidak mempunyai lokasi baharu untuk berpindah.

Ujarnya, keluarganya sendiri telah berniaga di situ sejak 46 tahun yang lalu iaitu ketika kadar sewaan tapak niaga hanyalah RM1 sehari.

“Kami sendiri pun terkejut apabila diberitahu perlu mengosongkan tapak ini pada Mei depan oleh tuan tanah.

“Memang sedih kerana kita dah lama berniaga di sini, penduduk Melaka pun ramai tahu tempat ini yang menawarkan harga pakaian jauh lebih murah pada kualiti tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Justeru, ujarnya, dia berharap kerajaan negeri dapat memainkan peranan membantu para peniaga kecil yang terlibat dengan memberikan penempatan baharu di sekitar Kampung Jawa itu.

David Yeo, 75, yang telah berniaga di situ sejak 1960-an pula memberitahu, pasar berkenaan terpaksa ditutup selepas pemilik tanah didakwa ingin memajukan kawasan terbabit dengan membuka sebuah medan selera.

“Memang sedih, saya berniaga di sini lebih 50 tahun, anak-anak semua dibesarkan dengan hasil jualan kedai ini dan selepas ini mungkin saya akan terus tutup kedai kerana kami tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah.

“Kedai-kedai di sini dahulu ada kira-kira 30 buah kedai, namun sebahagian telah dirobohkan dan hanya tinggal kami yang menyediakan barangan murah untuk orang-orang kampung,”katanya.

Sementara itu seorang pelanggan, Sahara Sonot, 52, berkata, dia terkejut dan sedih selepas mendengar berita mengenai penutupan itu dan sanggup datang dari Kuala Sungai Baru, Alor Gajah ke Kampung Jawa semata-mata untuk beli-belah sebelum ia ditutup.

“Memang sedih, saya datang ke sini sejak anak dara lagi zaman 70-an, setiap kali dapat gaji di sini lah saya akan beli-belah pakaian kerana harganya memang murah dan berkualiti.

“Selepas ini sudah tak ada tempat lain nak pergi, mana nak cari kedai baju yang boleh tawar-menawar, malah pakaian sekolah anak saya pun dibeli di sini kerana murah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI