PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengumumkan mekanisme bersesuaian bagi menggantikan kaedah kawalan harga.
Perkara itu dimaklumkan menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengulas gesaan Persekutuan Peniaga Barang Runcit Malaysia untuk menangani isu kekurangan bekalan.
“Kita memang ada kaji pelbagai mekanisme yang terbaik dan saya akan mengumumkan dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Salahuddin bagaimanapun enggan memberi bayangan apakah bentuk mekanisme yang sesuai bagi menggantikan sistem kawalan harga siling ketika ini.
“Saya cuma boleh kata bahawa kajian mengenai perkara berkenaan (mekanisme kawalan harga barang bersubsidi) telah dilakukan lebih setahun dan masih diteliti KPDN,” katanya.
Ditanya tentang rungutan pengguna mengenai isu minyak masak bersubsidi yang kurang, beliau berkata, secara keseluruhan bekalan stok adalah amat mencukupi, sebaliknya jika berlaku ia hanya melibatkan lokasi tertentu dengan aduan kes yang diterima bahagian penguatkuasaan KPDN membabitkan tempat itu sahaja. -KOSMO! ONLINE