KUALA SELANGOR – Perbuatan mencuri air di sebuah jeti pengumpulan hasil laut di Jalan Bagan Pasir di sini dipercayai sejak tiga tahun lalu terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 10.45 pagi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, kawasan jeti itu dikesan melakukan sambungan menggunakan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 32 milimeter tanpa melalui meter yang sah dan tiada kebenaran Air Selangor.
Katanya, air tersebut disalurkan bagi kegunaan aktiviti perkapalan dan harian pekerja.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dilakukan sejak 2020 lagi. Tindakan pemotongan bekalan diambil serta merta dan pihak premis akan dipanggil bagi memberi keterangan serta berdepan tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Mohd. Fazil, notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada premis terlibat selain menyita sambungan haram itu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan denda maksimun RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
“SPAN akan menjalankan operasi secara berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah kegiatan haram itu yang menjadi penyumbang kepada Kadar Air Tidak Terhasil (NRW).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat mengenai perkhidmatan air boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke 013-3885000 atau e-mel ke [email protected],” jelasnya. – KOSMO!ONLINE