BOLA sepak sering mencetuskan perasaan ‘euforia’ dalam kalangan pencintanya. Sama halnya dalam kalangan peminat Harimau Malaya. Pasukan yang menyatukan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia.
Adalah menjadi keterujaan untuk menyaksikan perlawanan pasukan kebangsaan di stadium berbanding menonton di platform saluran televisyen atau pun di aplikasi-aplikasi lain.
Gelanggang utamanya sinonim dengan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang mampu memuatkan lebih 80,000 penyokong pada satu-satu masa. Kompleks Sukan Bukit Jalil cukup dikenali dengan penganjuran acara-acara besar tidak kira membabitkan sukan atau konsert-konsert artis luar negara.
Pihak-pihak penganjur dibantu pihak keselamatan berjaya melicinkan pergerakan orang ramai dalam skala besar. Contohnya pada 10 September tahun lalu, kira-kira 80,000 penyokong pasukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu pada final Piala FA di SNBJ.
Pada malam yang sama, kira-kira 10,000 peminat kumpulan rock terkenal Indonesia, Dewa 19 mengadakan konsert di Axiata Arena.
Kompleks Sukan Bukit Jalil berjaya melepasi ‘ujian’ berikutan elemen-elemen seperti kemudahan dan keselamatan pengunjungnya terjaga selain akses kepada perkhidmatan awam yang amat baik. Namun ‘cantik’ di luar tidak semestinya di dalam.
Selasa lalu, penulis menyaksikan perlawanan AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Singapura. Disebabkan trafik sesak penulis hanya tiba di SNBJ selepas tamat separuh masa pertama.
Rakan penulis yang tiba awal sedikit memaklumkan tempat duduk yang tercatat di dalam tiket kami di Pagar B (terbuka) sudah diduduki orang lain. Ini perkara yang tidak enak dan sudah menjadi ‘norma’ orang kita.
Bimbang perkara sama berulang, pada perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Thailand, Sabtu lalu kami membeli tiket di grandstand. Apa yang mendukacitakan adalah perkara sama berulang.
Lebih membimbangkan ada penyokong terpaksa duduk di atas tangga apabila kerusi mereka diduduki orang lain. Perangai segelintir ini menyusahkan orang lain. Jika ditegur kita pula kena hambur.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menggesa penyokong mengikut nombor tempat duduk yang ditetapkan, namun masalah sama tetap berlaku.
Ia juga ‘mengancam’ keselamatan. Bayangkan ibu bapa membawa kanak-kanak bagi menikmati pengalaman menyaksikan Harimau Malaya terpaksa ‘mengalah’ dan merisikokan keselamatan anak-anak.
Penulis sendiri pelik bagaimana penyokong ‘melimpah’ sampai ke tangga stadium sedangkan kapasiti tiket berdasarkan jumlah kerusi tersedia (tolak 21,000 kerusi untuk konsert Jay Chou).
Jumlah kehadiran yang tertera skrin SNBJ pada malam itu 62,989 berbanding jumlah 59,000 tiket yang dijual.
Penulis berharap agar marsyal-marsyal lebih tegas bagi mengawasi budaya yang membarah ini. Takkan mahu tragedi seperti di Stadium Kanjuruhan, Malang berlaku baru ada tindakan. Seolah-olah menunggu malapetaka untuk terjadi.