JAKARTA – Satu gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter melanda laut dalam Indonesia dan Timor Leste awal hari ini.
Seorang mangsa cedera selepas gempa bumi itu menggegarkan pulau-pulau berhampiran, merosakkan kediaman dan memaksa penduduk melarikan diri dalam keadaan panik.
Pusat gempa itu terletak sejauh 427 kilometer (km) di selatan pulau Ambon pada kedalaman 95 km, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia berkata, gegaran itu dirasai di kepulauan Timor Leste, Maluku dan Papua. Ia turut melaporkan beberapa gegaran susulan berkekuatan 5.5 pada skala Richter.
“Saya berada di atas katil, kemudian saya berasa sedikit gegaran. Saya bangun dan mendapati ramai rakan turut merasakannya,” kata seorang penduduk bernama Hamdi yang menetap di Ambon.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, sekurang-kurangnya 15 rumah dan dua sekolah rosak di Kepulauan Tanimbar.
Gegaran paling kuat dirasai di Saumlaki, bandar terbesar di kepulauan itu dengan populasi 8,000 orang, kata BNPB.
“Gegaran kuat dirasai di Tanimbar antara tiga hingga lima saat. Orang ramai panik dan melarikan diri dari rumah mereka,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Agensi geofizik Indonesia pada awalnya memberi amaran tentang kemungkinan tsunami sebelum membatalkan amaran itu. – AFP