fbpx

EPMB terima pesanan 23,000 e-Bikes untuk pasaran Indonesia, Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Averte Global Pte Ltd, Roy Fung (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. (ASEAN) Jeff Chong pada majlis pemeteraian perjanjian induk di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah menerima pesanan utama untuk membekalkan motosikal elektrik (e-Bikes) sebanyak 23,000 unit untuk pasaran Indonesia dan Vietnam.

Penghantaran tersebut dijangka bermula pada suku pertama tahun ini dan ia adalah peristiwa penting bagi kumpulan untuk meluaskan perniagaannya dalam kenderaan elektrik beroda empat (EV) yang telah diumumkan sebelum ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee berkata, pesanan tersebut diterima susulan daripada pemeteraian perjanjian oleh EPMB melalui anak syarikatnya, EP Blueshark Sdn. Bhd.  dengan Averte Global Pte Ltd. (Averte) yang berpangkalan di Singapura dan

Blueshark Group Ltd (Blueshark) yang berpangkalan di Hong Kong.

Melalui perjanjian tersebut, Averte dan Blueshark telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi usaha sama dan pembeli.

Perjanjian pembelian akan berkuat kuasa selama lima tahun daripada tarikh perjanjian induk ini dan ia boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama, sepanjang tempoh tersebut, EP Blueshark dijangka membekalkan sekurang-kurangnya dua juta e-Bikes kepada pembeli.

Harga bagi setiap e-Bikes dijangka berada dalam lingkungan AS$1,850 (RM8,084.50) hingga  AS$3,900 (RM17,043).

“Perjanjian lima  tahun ini akan mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi Kumpulan dengan margin yang mantap. Ini akan meletakkan kami pada pertumbuhan yang dipercepatkan sambil kami berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pembeli yang sedemikian pada masa hadapan. 

“Walaupun penerokaan EV kami hanya bermula kurang dari setahun yang lalu, kami telah melihat sambutan yang kukuh daripada bakal pelanggan.

“Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk EV beroda dua di Indonesia dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Averte terlibat dalam perniagaan penghantaran produk dan perkhidmatan hijau yang inovatif dan memberi impak di Asia. 

Pada Julai 2022, Averte menandatangani memorandum persefahaman dengan Viettel Post Joint Stock Corporation (Viettel Post)  yang mana Viettel Post akan membeli 20,000 e-Bikes dan ia juga akan membuka 1,800 outletnya di seluruh negara.

Viettel Post adalah  anak syarikat Vietnam Telecom, firma telekomunikasi terbesar di Vietnam.

Averte juga telah menandatangani perjanjian awal pada Julai 2022 dengan PT Sarinah, sebuah perusahaan milik negara di bawah kerajaan Indonesia. 

PT Sarinah telah dilantik untuk mempromosikan dan mempopularkan e-Bikes di Indonesia. 

Dalam pada itu,  Averte juga menandatangani perjanjian awal dengan rakan kongsi perolehan PT Sarinah, PT Marco Indokarya, untuk perolehan dua juta unit e-Bike bagi tempoh lima  tahun akan datang. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI