TERPILIH untuk mewakili universiti dan negara pada Minggu Perundangan Hong Kong baru-baru ini disifatkan sebagai peluang keemasan buat anak muda bernama Lim San Shien.
Pemuda yang merupakan mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Malaya (UM) itu terpilih untuk menyertai delegasi selama dua hari atas jemputan kerajaan Hong Kong.
Bagi anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu, dia berbesar hati kerana terpilih mewakili negara ke Minggu Perundangan Hong Kong yang berlangsung di Hong Kong Convention and Exhibition Centre.
“Saya dijemput untuk hadir ke persidangan berkenaan sebagai panel forum dan pembentang atas kapasiti saya serta delegasi Malaysia sebagai Pemenang Kertas Persidangan Terbaik pada
Persidangan Pertukaran Undang-Undang Belia Antarabangsa.
“Pada persidangan ini, Malaysia membentangkan dua sistem undang-undang negara iaitu undang-undang sivil dan syariah,” katanya membuka bicara bersama Igen.
Menurutnya, sepanjang dua hari itu, dia berpeluang bertukar pandangan dan berbincang tentang topik kepimpinan pemerkasaan peranan belia dalam pembangunan negara, isu semasa serta aspirasinya untuk menyumbang kepada kemajuan Malaysia.
“Pada forum ini, saya juga berpeluang berinteraksi dengan pemimpin belia dan mahasiswa dari pelbagai negara seperti China, Singapura dan sebagainya untuk bertukar pandangan berkenaan sistem undang-undang dan agenda pembangunan mampan serta topik ekonomi dunia.
“Saya juga hadir ke persidangan berkenaan sebagai panel forum dan pembentang untuk berkongsi buah fikiran tentang konsep kedaulatan undang-undang serta peranan belia bagi mempromosikan keamanan dan keharmonian sejagat.
“Menerusi persidangan ini banyak ilmu pengetahuan dan pendedahan tentang undang-undang negara lain dapat saya pelajari,” ujarnya.
Dia yang pernah dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Ikon Siswa Kepimpinan daripada Kerajaan Negeri Johor berkata, pengalaman yang diperolehi ketika di Hong Kong memberi semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perundangan.
“Saya ingin memberikan khidmat bakti, menyumbang idea, jasa, tenaga dan kudrat kepada negara serta masyarakat melalui perkhidmatan guaman berkualiti.
“Saya juga akan terus berusaha untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi semua rakyat.
“Pengalaman yang diperolehi dapat mematangkan pemikiran diri, memantapkan lagi semangat saya untuk berkhidmat demi negara, selain memperkasakan kemahiran teknikal serta insaniah dalam diri,” katanya.
Ditebak mengenai aktiviti kampus lain yang disertainya selain berkaitan perundangan dan kepimpinan, San Shien berkata, dia aktif berbahas.
Katanya, dia pernah dinobatkan dengan pelbagai pengiktirafan hasil pencapaian membanggakan dalam bidang perbahasan.
Mengulas perancangannya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, anak tunggal berusia 22 tahun itu mengakui mempunyai rencana tersendiri.
“Kalau ditanya mengenai perancangan, saya memang ada hasrat menyambung ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD) dan bercita-cita untuk menjadi peguam atau seorang pemimpin.
“Saya sebenarnya minat dalam banyak bidang seperti perundangan, falsafah, urus tadbir, ekonomi , sains politik dan hubungan antarabangsa,” tuturnya yang memegang prinsip, hidup biar berjasa kepada orang lain.