KIEV – Sayap risikan tentera Ukraine mendakwa bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin bersedia untuk mengerahkan seramai 500,000 lagi askar ke negara itu pada bulan ini, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Ia adalah sebagai pertambahan kepada 300,000 anggota tentera yang dikerah pada Oktober tahun lalu.
Situasi tersebut turut disifatkan sebagai satu lagi petunjuk jelas bahawa Putin tidak berhasrat untuk menamatkan perang dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Perisikan tentera Ukraine, Vadym Skibitsky berkata, Kiev percaya kerahan tentera akan menjadi sebahagian daripada rentetan serangan Russia pada musim bunga dan musim panas di timur dan selatan negara itu.
Bagaimanapun, Moscow telah menafikan ia sedang bersiap sedia untuk gelombang kedua mobilisasi dengan Putin pada bulan lepas berkata, ‘tiada gunanya’ untuk bercakap mengenai kerahan baharu.
Menurut beliau, hanya separuh daripada anggota tenteranya yang telah digerakkan telah dihantar ke Ukraine.
Amaran Ukraine mengenai mobilisasi baharu itu muncul ketika Moscow mendakwa ia telah mematuhi gencatan senjata yang dibuatnya secara sendirian pada perayaan Krismas Ortodoks.
Kementerian Pertahanan Russia pada Jumaat lalu mendakwa tenteranya mula melakukan gencatan senjata dari tengah hari (waktu Moscow) namun, sebuah balai bomba di Kherson yang dikawal oleh Ukraine telah dibedil. Ia telah membunuh seorang anggota bomba dan mencederakan empat yang lain, demikian menurut pentadbiran wilayah tersebut.
Sementara itu, pemimpin yang dilantik oleh Rusia di wilayah Donetsk, Denis Pushilin pada petang Khamis lalu berkata, arahan gencatan senjata itu hanya meliputi operasi serangan dan tenteranya akan bertindak balas jika ditembak. – Agensi