PETALING JAYA – Selepas berita pengesahan penyanyi, Fyna Jebat yang selamat diijabkabulkan dengan Datuk Zainal Abidin, ramai pengguna Facebook menukar gambar profil mereka kepada gambar lagenda bola sepak tersebut.
Bukan itu sahaja, ada juga pengguna media sosial yang turut menggunakan kata-kata semangat antaranya ‘jadilah seperti Zainal Abidin’ juga banyak digunakan.
Tinjauan di laman sosial Facebook hari ini juga turut mendapati ucapan tahniah terhadap jurulatih berusia 61 tahun itu memenuhi ruangan komen portal berita yang menyiarkan tentang perkahwinan pasangan tersebut.
“Tahniah datuk, bukan hanya hebat di padang nampaknya,” tulis salah seorang pengguna Facebook.
” Baik datuk lah jika nak dibandingkan dengan seorang lagi tu, semoga datuk perolehi rezeki nanti,” luah Haikal Zamarul.
Terdahulu, berita perkahwinan pasangan tersebut itu dikongsikan oleh Fyna kepada media selepas tamatnya satu program televisyen semalam.
Fyna yang yang juga adik kepada penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Untuk rekod, Zainal Abidin merupakan lagenda bola sepak negara dan pernah membimbing beberapa pasukan besar dalam saingan Liga Super seperti pasukan Pahang, Melaka United dan Penang FC.
Namun khidmatnya tidak diteruskan Penang untuk saingan musim ini. – KOSMO! ONLINE.