fbpx

Mahkamah: CEO antara empat didakwa buat tuntutan palsu Penjana Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR Rizan Zakaria hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat tuntutan palsu Penjana Perkeso 2.0

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, CEO NVDS Technology Sdn. Bhd., Md. Zaidi Muhammad, 45, didakwa mengemukakan dokumen palsu mengandungi nama pekerja baharu atas nama syarikat itu bagi menuntut insentif berjumlah RM343,660.

Menurut pertuduhan, butiran palsu itu terkandung dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja walhal senarai nama dalam dokumen itu bukan pekerja NVDS Technology.

Tertuduh didakwa mengemukakan borang tersebut melalui seorang individu kepada seorang kakitangan Perkeso dengan niat untuk memperdayakan agensi berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 22 April 2021 di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Putrajaya.

Di mahkamah yang sama, bekas pengarah sebuah syarikat pembinaan turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan tuntutan insentif Penjana 2.0 berjumlah RM40,900.

Pertuduhan pertama, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, didakwa mengemukakan borang melalui seorang individu kepada seorang ejen Perkeso bagi menuntut insentif sebanyak RM25,900 atas nama Perusahaan Lan Trading & Construction.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan borang melalui individu sama kepada ejen Perkeso berlainan bagi menuntut insentif RM15,000 atas nama syarikat itu.

Tarikh sebutan bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 15 Februari ini.

Sementara itu di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohamed Hazzri yang juga bekas pengarah Percetakan Haz Sdn. Bhd. turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melibatkan tuntutan insentif RM61,300.

Tertuduh didakwa mengemukakan borang melalui seorang lelaki untuk diserahkan kepada kepada seorang ejen Perkeso bagi menuntut insentif atas nama syarikat itu.

Di mahkamah yang sama, seorang pemilik syarikat, Ilham Diya Enterprise didakwa atas satu pertuduhan melibatkan tuntutan insentif sebanyak RM49,500.

Nor Rizan Zakaria, 59, didakwa mengemukakan borang melalui seorang individu kepada ejen Perkeso bagi menuntut insentif atas nama syarikat itu pada 6 Mac 2021 di Menara Perkeso.

Dalam pada itu, di mahkamah berlainan, Pengurus Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31
turut didakwa mengemukakan borang palsu bagi menuntut insentif RM9,100 atas nama syarikat itu dengan mengemukakan borang melalui seorang individu dan diserahkan kepada seorang ejen Perkeso. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI