GEORGE TOWN – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di sebuah sangkar ikan di kawasan Sungai Udang di sini, selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri, semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, tangkapan dilakukan semasa anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas sebuah sangkar ikan di kedudukan 50 kilometer barat Batu Kawan, kira-kira pukul 5.30 petang.
”Hasil pemeriksaan mendapati, seorang pekerja sangkar berusia 17 itu gagal mengemukakan atau tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
”Pekerja sangkar terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 di bawah kesalahan tiada mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
”Maritim Malaysia menasihati pemilik sangkar ikan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa,” tambahnya.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. – KOSMO! ONLINE