fbpx

[VIDEO] Lelaki bertopi keledar pecah tabung masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli jawatankuasa Masjid Mukim Kampung Sungai, Bachok menunjukkan sebuah tabung di masjid itu yang dipecah dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO TOREK SULONG

BACHOK – Jemaah Masjid Mukim Kampung Sungai di sini, yang hadir untuk menunaikan solat subuh pagi tadi, terkejut apabila melihat duit syiling bertaburan di atas karpet selepas salah sebuah tabung di masjid itu dipercayai dipecahkan oleh seorang lelaki.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 pagi apabila seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal masuk ke dalam masjid itu sebelum memecah tabung berkenaan.

Imam Tua Masjid Mukim Kampung Sungai, Tajudin Ahmad Tarmizi, semasa tiba di masjid, dia dan jemaah lain melihat tabung itu sudah pecah dan wang tunai hasil derma sebanyak kira-kira RM100 dilarikan suspek.

Menurutnya, berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), seorang lelaki yang memakai topi keledar masuk ke masjid sebelum mengumpil tabung yang terletak di beranda luar masjid.

“Rakaman CCTV menunjukkan suspek menggunakan pemotong besi, gergaji besi dan spanar untuk membuka mangga tabung itu, namun cara tersebut gagal. Dia kemudiannya menggunakan sebatang besi dan berjaya memgumpil mangga tabung tersebut.

“Kecurian pagi tadi merupakan kejadian kali keempat tabung masjid ini dipecah. Kami menganggarkan wang derma sebanyak kira-kira RM100 telah dicuri apabila pihak masjid sudah memungut wang sebanyak lebih RM1,000 di dalam tabung tersebut dua hari lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Mukim Kampung Sungai di sini, hari ini.

Menurut Tajudin, beliau mengesyaki suspek merupakan penagih dadah yang terdesak mendapatkan sumber kewangan untuk melepaskan gian.

Katanya, suspek juga meninggalkan pemotong besi, gergaji besi, spanar dan besi pengumpil yang digunakan untuk memecah tabung di dalam masjid itu.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan masjid sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pegawai penyiasat telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI