BESUT – Lapan beradik mengalami kerugian hampir RM1 juta setelah perniagaan milik koperasi keluarga mereka terjejas akibat banjir besar, baru-baru ini.
Mohd. Azizi Mustafa, 54, berkata, banjir pada 19 Disember lalu menyebabkan 95 peratus barangan jualan di tiga premis perniagaan milik koperasi keluarganya rosak.
Beliau yang memiliki sebuah kedai percetakan di Jerteh tidak menyangka premis perniagaan mereka yang terletak di kawasan agak tinggi ditenggelami air.
“Antara yang rosak ialah 150 unit mesin fotostat, alat ganti mesin, 500 kotak kertas, komputer dan barangan alat tulis.
“Kebetulan beberapa hari sebelum itu, stok baharu barangan sampai. Semuanya rosak kerana kami tidak sempat mengalihkannya kerana air naik terlalu cepat dan deras,” katanya di sini, semalam.
Azizi berkata, sebelum ini, premis perniagaannya tidak pernah dilanda banjir sejak ia beroperasi lebih lima tahun lalu.
Sementara itu, adiknya, Mohd Norizzuan, 36, berkata, lebih 6,000 beg simen, 200 kotak paku, 100 keping papan lapis dan 70 pintu di kedai perkakasan miliknya juga rosak dalam banjir besar berkenaan.
Tambah beliau, enam biji lori dan tiga jentera berat milik koperasinya turut rosak ditenggelami banjir
“Banjir kali ini sangat luar biasa sehingga mencecah 2.5 meter dan paling teruk dalam tempoh 12 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE