PETALING JAYA – Beberapa kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya sehingga menghalang laluan sebuah ambulans mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Menerusi satu klip video yang dimuat naik oleh Ridzuan Yusof di Facebook, memaparkan lorong kecemasan lebuh raya berkenaan telah dipenuhi kenderaan.
Sehubungan itu, kelihatan sebuah ambulans terpaksa menunggu beberapa minit sebelum dapat meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, lokasi lebuh raya itu tidak dapat dipastikan.
Justeru, tinjauan di ruangan komen pula mendapati rata-rata orang ramai meluahkan perasaan kecewa terhadap segelintir pemandu yang tidak prihatin.
“Minta Anthony Loke buat undang-undang baru, batalkan lesen pemandu tersebut. Setakat saman dorang tak kisah,” ujar Mohd. Fauzan.
“Semoga nanti yang biasa ikut lorong kecemasan ini, dia rasa balik apa yang pesakit (dalam ambulans) tu rasa. Setiap saat adalah berharga,” kata Rahieme.
“Kenderaan yang ‘tibai’ lorong kecemasan semuanya jenis penting diri sendiri,” seloroh kanda. – KOSMO! ONLINE