MINAT mendalam untuk bekerja dalam dunia media sebagai produser mendorong anak muda kelahiran Selangor ini untuk mencapai matlamat tersebut.
Keputusan untuk menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat media gergasi negara disifatkan paling tepat buat pelajar Universiti Malaya (UM) ini.
Meskipun mengambil jurusan kesenian Melayu, namun minat mendalam dalam dunia media tempatan membuatkannya berani untuk mencuba sesuatu yang ‘lari’ daripada kebiasaan.
Bakal menamatkan latihan industri sekitar pertengahan bulan depan, pemilik nama penuh Nurul Nadhirah Mohamad Tajudin menyifatkan keputusan yang diambilnya itu tepat.
“Ya, saya kini sedang menjalani latihan praktikal di Buletin FM (Media Prima Audio) sebagai penerbit pelatih.
“Secara jujurnya, minat dalam bidang penyiaran datang setelah saya masuk ke alam kampus dan sering mengungkapkan kata ‘saya nak jadi seorang produser’.
“Bagi saya, bidang penyiaran memberikan saya peluang dan momen yang mungkin tidak dapat di tempat lain dan saya berniat untuk meneruskan kerjaya sebagai penerbit selepas tamat latihan praktikal nanti,” katanya kepada K2.
Tambah anak jati kelahiran Kuantan, Pahang berusia 24 tahun itu, dia yang kini mengikuti pengajian ijazah sarjana muda juga ada merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak.
“Selain mencari peluang untuk bekerja, saya juga memang ada perancangan untuk sambung pengajian kerana itu adalah impian bapa dan arwah ibu.
“Sebagai seorang anak, ia menjadi tanggungjawab saya untuk menunaikan impian mereka.
“Buat masa ini, saya merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama, tetapi ada juga merancang untuk menyambung pengajian dalam
Selain bercita-cita dan minat tinggi dalam lapangan media, Nurul Nadhirah juga aktif dengan pelbagai aktiviti kampus termasuk aktiviti kepimpinan.
Ujarnya, kerana minat dalam kepimpinan, dia pernah diberi kepercayaan dan dilantik menjadi Presiden Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (JPRKUM) dua tahun lalu.
“Saya menyertai JPRKUM sejak tahun pertama di UM sebagai sekretariat dan meneruskannya pada tahun kedua sebagai setiausaha.
“Apa yang saya nampak, trend cabaran sebagai ahli JPRKUM setiap tahun adalah sama, terutamanya apabila perlu berurusan dengan hal berkaitan pentadbiran dan gerakan pelajar sendiri.
“Jujurnya, JPRKUM mematangkan diri saya dan membuatkan saya kenal apa itu erti tanggungjawab.
“JPRKUM juga memberikan saya pengalaman yang sangat bernilai dalam hidup apabila diberikan peluang mengendalikan ‘festival’ terbesar iaitu Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (PRKUM),” katanya.
Jelasnya, JPRKUM juga memberikan saya bayangan bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengadakan dan menguruskan Pilihan Raya Umum (PRU) sebenar.
Cerita Nadhirah, dek kerana terlalu minat dan ghairah dalam bidang tersebut, anak bongsu daripada enam beradik ini juga mengakui pernah menerima ugutan ketika bergelar Presiden JPRKUM tetapi menganggap ia sebagai asam garam menjadi anggota JPRKUM tanpa dirinya mudah melatah sedikitpun.