SHAH ALAM – Masih ramai masyarakat yang tidak suka kepada doktor gigi malah tidak suka berkunjung ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan apatah lagi mahu membuat pemeriksaan gigi secara berkala.
Trauma atau persepsi menakutkan mengenai rawatan gigi yang pastinya memberi kesakitan sentiasa membayangi pesakit meskipun persekitaran dan klinik tersebut telah diubah suai serta dilengkapi dengan peralatan perubatan yang semakin canggih dan moden.
Tetapi semua cabaran itu menjadi semangat dan motivasi bagi pemilik empayar DV Group Berhad dan juga pengasas Klinik Pakar Pergigian Kanak-kanak Dental Valet serta seorang pakar perunding pergigian kanak-kanak, Dr. Nazatul Sabariah Ahmad, 42.
Wanita yang berasal dari Taiping, Perak itu sentiasa berinovatif untuk mengubah persepsi negatif tersebut melalui pendekatan dua buah cawangan klinik yang dimilikinya iaitu di Bangi dan yang terbaharu di Seksyen 13 di sini.
Klinik kedua dalam premis tiga tingkat itu dihias cantik dengan rekaan minimalis yang cukup menenangkan pelanggan bukan sahaja ibu bapa malah ruang unik di tingkat dua untuk klinik kanak-kanak pastinya melegakan hati si cilik untuk mendapatkan rawatan.
Malah lebih menarik, setiap kali selesai rawatan, anak-anak cilik ini diberi hadiah termasuk ais krim yang disediakan bertujuan untuk mengurangkan rasa kebas dalam mulut selepas mendapatkan rawatan.
“Cabaran besar buat doktor untuk merawat kanak-kanak yang sangat kecil adalah mereka masih tidak boleh berkomunikasi dengan baik, apatah lagi bagi pesakit dalam kalangan anak-anak istimewa termasuk autism dan sindrom Down.
“Melalui kaedah pujukan, bercerita bagi melekakan pesakit, bercakap dengan nada berbeza untuk menarik perhatian pesakit namun sekiranya ada kes yang melibatkan trauma daripada pengalaman sebelumnya sehingga tidak dapat memberikan kerjasama yang baik maka rawatan di bawah bius penuh disarankan.
“Setelah selesai masalah yang dihadapi, pesakit akan datang semula ke klinik dengan lebih positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran klinik terbaharunya di sini baru-baru ini.
Nazatul Sabariah menerangkan, buat masa ini, syarikat memiliki 24 pakar pergigian dalam pelbagai bidang dan 12 daripada adalah pakar pergigian kanak-kanak serta menyediakan rawatan perkhidmatan asas sehingga kepada peringkat kritikal.
Turut disokong oleh lebih daripada 30 kakitangan di unit klinikal dan bahagian pengurusan pejabat.
Lebih menarik, untuk perancangan masa depan, syarikatnya bakal membangunkan akademi Dental Valet yang akan membuat pengambilan pelajar mulai tahun ini.
Akademi tersebut bertujuan untuk memberi latihan kepada doktor gigi am yang mempunyai minat dalam bidang pergigian kanak-kanak serta memberi latihan kepada pembantu pembedahan pergigian.
“Di situ juga akan ditawarkan asas mengendalikan pergigian klinik pergigian yang mana ia adalah salah satu daripada silibus dalam pengajian di situ,” jelasnya.
Wanita yang memperoleh Doctorate in Dentistry, Pediatric Dentistry di United Kingdom pada tahun 2012 itu mahu membuka sehingga dua buah klinik pada tahun ini yang mana salah satunya terletak dalam sebuah hospital swasta utama di Damansara pada suku pertama tahun ini.
Bagi perancangan jangka panjang, sebanyak 50 klinik baharu akan dibuka dalam tempoh lima akan datang.
Pelan pengembangan empayar perniagaan usahawan ini dilaksanakan melalui pengumpulan dana daripada pelabur bagi membolehkan mereka memiliki kepentingan dalam industri bernilai tinggi ini.
Projek sulungnya dalam pengumpulan dana berjaya direalisasikan melalui pembukaan klinik keduanya di sini yang mana hanya dalam masa sebulan sebanyak RM800,000 berjaya dikumpul daripada pelabur.
“Secara keseluruhan outlet ini menelan belanja sehingga RM1.5 juta kerana ia merupakan sebuah cawangan klinik yang memiliki peralatan merawat kegunaan pakar yang sangat canggih dan mahal, malah premis ini adalah tiga tingkat jadi ia melibatkan satu pelaburan yang besar.
“Kami sudah memiliki pengalaman sukar pada cawangan pertama di Bangi yang mana menggunakan modal sendiri dan pada tahun pertama serta kedua ia merupakan tempoh mencabar buat kami dalam pengurusan kewangan.
“Daripada pengalaman tersebut, kami belajar daripada mentor dan di situ terdapat peluang yang terbuka buat orang lain untuk memiliki kepentingan dalam projek pembukaan klinik baharu ini.
“Sehubungan itu, konsep pengumpulan dana ini akan diteruskan untuk projek klinik-klinik baharu pada masa depan,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran doktor yang sering dikaitkan dengan persepsi mereka tidak pandai membuat pemasaran kerana sibuk dengan perihal merawat pesakit masing-masing, Nazatul Sabariah turut berdepan dengan isu tersebut.
Katanya, pengalaman di klinik sulungnya mematangkan diri beliau untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya tetapi tumpuan terhadap membantu menyelesaikan masalah pesakit adalah keutamaannya.
Beliau sendiri akan menyusun jadual yang ketat untuk berada bersama pesakitnya sebelah pagi di Bangi dan pada waktu petang pula akan berada di Shah Alam.
“Berada dalam satu bidang yang mendapat permintaan tinggi daripada pesakit setiap hari adalah satu perkara yang mencabar buat saya dan dalam masa yang sama, saya juga perlu menguruskan perniagaan.
“Saya sebenarnya kasihan terhadap pesakit kerana kesakitan yang dihadapi dan saya suka nak menyelesaikan masalah mereka. Walaupun saya rasa penat tetapi apabila bercakap dengan pesakit, ia akan memberi satu kegembiraan dan sekali gus motivasi buat saya untuk memberi perkhidmatan terbaik buat mereka,” terang beliau.
Kini pengurusan pejabat dikendalikan sepenuhnya oleh suami beliau, Ihsan Ilham, 42 manakala setiap cawangan memiliki kumpulan pengurusan sendiri.
“Berbanding operasi yang agak lemah pada tahun 2019 dan 2020 di Bangi, saya dan suami telah menghadiri kelas organisasi dan juga permodalan bagi membolehkan kami mengoperasi satu sistem perniagaan lebih baik.
“Sebenarnya untuk menguruskan manusia adalah susah dan kami telah membuat satu SOP, sistem pemfailan dan juga sistem modul termasuk latihan kepada pekerja yang mana sekiranya ada pekerja yang berhenti, ia tidak menjadi masalah kepada syarikat kerana pekerja baharu akan dilatih mengikut modul yang telah ditetapkan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE