fbpx

Anwar mahu selesaikan isu antara Malaysia, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar diiringi Jokowi memeriksa barisan kehormat semasa melakukan lawatan rasmi di Istana Bogor, hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin beberapa isu yang timbul di antara Malaysia dan Indonesia termasuk mengenai pekerja Indonesia di negara ini, dapat diselesaikan akhir tahun ini.

Anwar berkata, beliau mahu menghindari isu-isu yang boleh merenggangkan dan meretakkan sebaliknya mahu hubungan Malaysia dan Indonesia berada dalam kategori istimewa.

“Saya sepakat dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hal-hal yang harus dimeterai dan dilaksanakan.

“Saya beritahu Insya-Allah jika ini pendirian kita bersama dan ada tekad politik yang jelas untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan asas itu selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Saya harap kedua-dua menteri luar tahu komitmen kita begitu rupa,” katanya pada sidang media bersama Jokowi semasa lawatan rasmi beliau ke Indonesia di Istana Bogor, pagi ini.

Anwar yang juga Menteri Ekonomi berkata, penyelesaian mengenai nasib pekerja bawahan perlu menyeluruh dan agensi pekerjaan tidak boleh dibenarkan mengambil untung berlebihan dengan menekan golongan pekerja.

Justeru, katanya, langkah pendigitalan adalah amat penting kerana ia dengan sendirinya akan mengurangkan kerenah birokrasi.

“Hal-hal lain perbatasan dan sebagainya pula tentunya akan diteliti. Tidak terlalu banyak kerumitan cuma perlu satu tekad yang jelas. Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri,” katanya.

Terdahulu, Anwar diberikan sambutan negara dalam lawatan rasmi ke Indonesia di Istana Bogor dan ketibaannya disambut Presiden Jokowi, lagu kebangsaan Negaraku dan Indonesia Raya serta disusuli 19 das tembakan penghormatan.

Ia disusuli pemeriksaan barisan kehormat dan memperkenalkan delegasi Indonesia oleh Jokowi dan delegasi Malaysia oleh Anwar.

Anwar seterusnya menandatangani buku pelawat di Dewan Teratai, diikuti acara menanam pokok Merawan atau Hopea odorata di halaman belakang istana.

Jokowi kemudian membawa Anwar melawat sekitar istana dan Kebun Raya Bogor seluas 87 hektar yang mencecah usia 205 tahun dan merupakan antara taman botani tertua di dunia.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan acara penyerahan 11 Surat Hasrat daripada 10 syarikat Malaysia dalam pembangunan ibu kota negara (IKN) Nusantara iaitu sebuah pusat pentadbiran Indonesia di Kalimatan Timur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI