LONDON – Pelumba Sepanyol, Alex Rins memberi gambaran bahawa tugas pertamanya bersama Honda menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bukan mudah selepas menyifatkan jentera dari Jepun tersebut benar-benar rumit untuk dikendalikan.
Rins mendedahkan bahawa perasaannya ketika mengakhiri sesi ujian pertama bersama jentera Honda pada November lalu di Valencia bukan sesuatu yang positif menyebabkan pelumba Sepanyol tersebut mengakui bahawa dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan RC213V .
Juara lima kali perlumbaan Grand Prix tersebut menyertai pasukan LCR Honda dengan kontrak dua tahun sejurus Suzuki membuat keputusan meninggalkan MotoGP sebaik sahaja berakhirnya perlumbaan 2022.
“Anda bernasib baik, ini kali pertama saya akan bercakap secara terbuka tentang Honda. Ini adalah babak baru dalam hidup saya dan saya gembira menyertai keluarga Honda.
“Apapun, ini bukan satu perjalanan mudah kerana ia benar-benar rumit, Honda adalah motosikal yang sangat berbeza dengan Suzuki, tetapi saya perlu mengatakan bahawa saya tidak fikir ia adalah sebuah jentera yang teruk.
“Apa yang saya dapati paling sukar adalah tindak balas enjin dan karakter jentera ini berlainan. Saya tidak begitu memahaminya. Saya menyukai jentera ini, tetapi ia bukan mudah untuk ditunggang,” kata Rins.
Sepanjang memulakan karier di kelas perdana sejak 2017, Rins hanya memacu jentera Suzuki dan tidak mempunyai pengalaman menguji jentera berbeza selain jenama berkenaan.
“Saya sertai pasukan Suzuki tanpa pengalaman menunggang motosikal lain, jadi saya telah lakukan yang terbaik sewaktu memacu jentera GSX-RR,” ujarnya.
Rins menyertai Honda ketika melalui tempoh sukar dalam kerjayanya selepas pelumba berusia 27 tahun tersebut hanya mencatat dua kemenangan dalam tempoh dua tahun. – AGENSI