fbpx

Upah bakar kereta RM800, simbah cat RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan gambar suspek dan rumah-rumah yang menjadi mangsa ah long pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Ahli sindiket ah long sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat untuk melakukan perbuatan khianat terhadap peminjam sindiket tersebut.

Malah, ahli sindiket turut menerima habuan sebanyak RM800 bagi setiap perbuatan khianat dengan api dan RM500 sebagai upah simbah cat.

Sindiket yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu terbongkar selepas lapan ahlinya berusia 27 hingga 67 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dengan penahanan lapan individu termasuk dua orang wanita warganegara Vietnam itu telah berjaya menyelesaikan 21 kes sekitar negeri ini termasuk di Brickfield dan Tanjung Minyak, Melaka.

“Pada 4 Januari lalu, sepasukan polis bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah membuat serbuan dan menahan tiga ahli sindiket itu pada pukul 1.40 petang.

“Maklumat itu adalah hasil kolaborasi dengan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfield yang sebelum ini telah menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita warganegara Vietnam,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, wang tunai RM4,649, sepasang sarung tangan, dua buah kereta, 12 keping kad ATM, dua keping kad akses rumah dan dua keping kertas tercatit alamat peminjam.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki sindiket yang masih bebas.

Katanya, ahli sindiket ini yang berpangkalan di ibu kota sanggup meredah lebih 300 kilometer dengan membuat perjalanan antara 12 tengah malam hingga empat pagi bagi mengelak pergerakan dikesan.

“Siasatan awal juga mendapati keldai akaun bagi sindiket terbabit akan menerima wang upahan sebanyak 10 peratus daripada nilai transaksi.

“Ada di antara tangkapan yang dibuat adalah bekas peminjam yang gagal menjelaskan hutang dan melakukan jenayah demi bagi melangsaikan hutang dan mengaut keuntungan lebihan.

“Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan ke media sosial dan mengenakan kadar pinjaman dari RM1,000 sehingga RM50,000 manakala faedah pinjaman yang dikenakan sebanyak 20 sehingga 50 peratus,” katanya.

Kesemua tangkapan telah direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI