fbpx

‘Tuan rumah tempah makanan 500 orang, jemput 1,000 tetamu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jangan mudah menuding jari kepada pe­ngusaha majlis perkahwinan apabila kuantiti makanan yang disediakan untuk sesebuah majlis perkahwinan tidak mencukupi.

Presiden Persatuan Pe­ngusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Muhidden berkata, isu yang kerap dialami pengusaha majlis perkahwinan adalah jumlah ­tetamu melebihi tempahan makanan oleh penganjur majlis.

“Tidak patut mendengar (dakwaan) katering saja buat salah. Undangan jemput 200 kad yang dimaklumkan kepada kita (pe­ngusaha), tetapi dijemput 400, 500 orang.

“Lepas itu kata kurang makanan dan ini yang amat biasa berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Zarinah berkata, beliau pernah mengalami situasi tersebut apabila pelanggannya menempah makanan untuk 500 orang, tetapi jumlah tetamu 1,000 orang.

ZARINAH

Menurutnya, pelanggan apabila ditanya perkara itu hanya memberi jawapan tetamu lebih daripada jumlah jemputan kerana dipelawa oleh saudara-mara mereka.

“Berlambak orang sampai tak cukup kerusi dan meja. Rupa-rupanya ada persatuan-persatuan juga dijemput ke majlis perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­ngusaha katering hanya mahu dikenali sebagai Ajib, 43, berkata, terdapat majlis perkahwinan diadakan di lokasi atau tempat terbuka se­perti di pekarangan masjid.

Katanya, lokasi seperti itu membolehkan sesiapa sahaja menghadiri dan menikmati makanan menyebabkan makanan disediakan tidak mencukupi.

“Tempah 1,000 orang makan, tetapi tidak dijemput pun datang makan. Biasanya pihak katering akan sediakan lebih sedikit makanan, tetapi jika sudah terlebih dan terlalu ramai memang tidak cukup, maka kami pula dituduh menipu.

“Pihak katering tidak akan sesekali menipu kerana kami tahu perbuatan itu akan mero­sakkan perniagaan kami. Tentu­nya pihak katering akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik,” ujarnya.

Selain itu, katanya, ada juga kes pengusaha katering dituduh menipu kerana enggan memulangkan wang deposit apabila penganjur membatalkan majlis apabila tarikh hampir tiba.

“Wang deposit telah digunakan untuk membeli barang mentah. Kena tempah awal dengan pembekal sebab bimbang barang susah dapat,” jelasnya.

Menurut beliau, jika berlaku sebarang penipuan, ia sebenar­nya melibatkan scammer yang menyamar sebagai pengusaha katering untuk memperdayakan orang ramai.

Katanya, scammer akan memaklumkan di media sosial ­konon menyediakan perkhidmatan katering pada harga lebih rendah berbanding pengusaha katering lain.

“Mereka beri harga tidak ma­suk akal dan orang ramai yang terpedaya bersetuju. Selepas wang deposit diserahkan mereka hilang. Jadi berhati-hatilah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI