KOTA KINABALU – “Sokongan saya kepada Hajiji tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang.
“Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli UMNO. Kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Shahelmey berkata demikian bagi mengulangi pendiriannya terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor walaupun berdepan tindakan daripada UMNO.
Ditemui di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, hari ini, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah juga tidak mengubah pendirian terhadap UMNO dan menganggap dirinya masih ahli parti itu.
Dia adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO keluar daripada kerajaan negeri.
Empat lagi ADUN UMNO yang menyokong Hajiji ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) sebagai sokongan kepada Hajiji.
Mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, beliau berkata, perkara itu juga diserahkan kepada parti untuk mengambil sebarang tindakan ke atasnya. – KOSMO! ONLINE.