LONDON – Penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko percaya bahawa pasukannya itu seharusnya lebih bimbang dengan ancaman Mercedes berbanding Ferrari ketika mereka sedang bersiap untuk mempertahankan gelaran pada 2023.
Red Bull menikmati detik indah perlumbaan Formula Satu (F1) selepas dominan menakluk saingan 2022 menerusi Max Verstappen sejurus merangkul gelaran dunia kali kedua berturut-turut.
Verstappen dan rakan sepasukannya, Sergio Perez tampil cemerlang apabila memenangi 10 daripada 11 perlumbaan terakhir pada 2022.
Satu-satunya kekalahan Red Bull adalah di Grand Prix Brazil selepas George Russell berjaya meraih kemenangan untuk Mercedes.
Pada 2022, Mercedes bergelut untuk mencari pelarasan terbaik dan berhempas pulas ketika menentang Red Bull dan Ferrari.
“Saya akan mengatakan bahawa kita harus lebih takut dan waspada dengan ancaman pasukan Mercedes.
“Terutamanya kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding Ferrari dari segi strategi dan sebagainya,” tegas Marko.
Ferrari pada mulanya kelihatan bersedia untuk memberikan ancaman kepada Red Bull pada 2022 apabila memenangi dua daripada tiga perlumbaan pertama.
Bagaimanapun, prestasi cemerlang tersebut tidak bertahan lama apabila prestasi pasukan Itali itu menurun pada separuh kedua musim 2022. – AGENSI