SEREMBAN – Tidak berlaku sebarang kesukaran dalam soal rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, masa yang tepat adalah sangat penting untuk parti membuat sebarang keputusan.
“Apabila tiba masanya, keputusan akan dibuat. Jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding.
“Kadangkala bukan soal sukar, tetapi dalam politik, ‘timing’ adalah penting, bila waktunya mahu membuat keputusan apa, itu terpulang kepada pertimbangan politik masing-masing.
“Kita sudah tubuhkan kerajaan dan duduk dalam satu Kabinet. Dalam lima hari kami selesaikan rundingan bagi tubuhkan kerajaan selepas 19 November, tidak timbul soal itu,” katanya selepas hadir pada Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu masih belum memulakan perbincangan berhubung kerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN pada tahun ini.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, fokus ketika ini adalah bagi memastikan pentadbiran kerajaan yang dibentuk berjalan lancar.
“Soal PRN itu akan dibincangkan, masih ada masa. Kalau bubar DUN pun, masih ada tempoh 60 hari. Masing-masing ada pengalaman yang cukup. Apa yang rakyat mahu lihat adalah kerajaan perpaduan dapat berfungsi dengan baik,” katanya lagi.
Enam buah negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – KOSMO! ONLINE