MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Diogo Dalot tidak bersetuju dengan pendapat pengurusnya, Erik Ten Hag sambil menyifatkan rakan sepasukannya ketika ini cukup obses untuk memburu trofi musim ini.
The Red Devils kemarau sebarang kejuaraan sejak kali terakhir mereka menjulang Piala Europa ada 2017 ketika di bawah kendalian Jose Mourinho menyebabkan Ten Hag enggan meletakkan impian terlalu besar dan mahu para pemainnya memberikan fokus aksi demi aksi.
Awal pagi semalam menyaksikan United berjaya menempah slot ke pusingan keempat Piala FA selepas menundukkan Everton 3-1 di Old Trafford sekali gus mengundang pujian daripada Ten Hag yang gembira melihat semangat dipamerkan oleh pemain-pemainnya.
“Saya sedar bahawa United adalah sebuah pasukan yang sentiasa menyasarkan trofi dan kami akan cuba melakukannya. Namun, saya tidak terlalu terdesak, kami fokus satu demi satu perlawanan, bukan semata-mata gelaran kerana ia masih jauh,” kata Ten Hag selepas aksi berkenaan.
Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan oleh Dalot apabila mengakui bahawa dia dan rakan sepasukannya berada dalam ‘mood’ yang terbaik untuk meraih sesuatu yang lebih istimewa musim ini selepas mula mempamerkan aksi konsisten.
“Beraksi di pentas final dan memenangi trofi adalah sasaran pasukan ini. Kami mahu melakukan sesuatu yang lebih baik dan hari ini (semalam) kami berjaya melangkah setapak ke hadapan.
“Kami semakin obses untuk memenangi trofi buat para peminat. Mereka layak selepas sekian lama menanti. Saya fikir kami mempunyai peluang yang baik musim ini untuk kembali meletakkan United di puncak dan bersaing memenangi gelaran,” jelasnya. – AGENSI