fbpx

Mohd. Shafie berpeluang kembali jadi Ketua Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHAFIE (tengah) pada sidang akhbar khas di Pejabat Warisan di Kota Kinabalu semalam. – IVAN AMIRUL

PETALING JAYA – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilihat calon berpotensi menjadi Ketua Menteri Sabah jika Datuk Seri Hajiji Noor gagal mempertahankan jawatan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, pandangan itu berdasarkan kedudukan strategik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sedia ada.

“Begitu juga berdasarkan kecenderungan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji atas alasan-alasan tertentu.

“Sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN ditambah jumlah kerusi milik Warisan serta kerusi parti-parti kecil lain termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Bebas dan sebagainya.

“Harus diingat Akta Lompat Parti belum diluluskan DUN Sabah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kelmarin, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dan beberapa ADUN parti lain turut mengumumkan perkara sama.

Keadaan itu sekali gus me­nimbulkan tanda tanya sama ada Hajiji masih mempunyai soko­ngan majoriti 40 ADUN untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Mujibu berkata, namun begitu Hajiji yang juga ADUN Sulaman masih berpeluang kekal sebagai Ketua Menteri Sabah jika berupaya membuktikan jumlah sokongan mencukupi.

Menurutnya, kaedah terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan membuktikannya secara demokratik iaitu menerusi usul percaya pada sidang DUN Sabah akan datang.

Tambahnya, beliau percaya Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahiruddin selaku Yang Di-Pertua Negeri Sabah tidak akan bersetuju DUN dibubar untuk menyelesaikan kemelut politik yang terjadi.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, kemelut yang berlaku di Sabah adalah isu dalaman politik di Sabah.

Jelasnya, Sabah sebuah ne­geri yang diberi autonomi politik, maka apa sahaja berlaku di ne­geri itu biar rakyat negeri tersebut yang menentukan hala tuju politik negeri berkenaan.

“Saya kira ini tiada kaitan dengan Putrajaya jadi Putrajaya tidak wajar campur tangan sebab inilah yang dikehendaki parti-parti di Sabah hendak bertindak secara setempat, hendak diberi kebebasan untuk melakukan sesuai dengan sentimen mereka.

“Autonomi di Sabah bukan sahaja dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi sikap dan tindak tanduk mereka.

“Kaedah terbaik diselesaikan melalui undi percaya di DUN. Tidak boleh sekadar dakwa dapat sokongan majoriti atau tidak dan sebagainya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI