TAWAU – Seorang remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan ladang kelapa sawit Brantian, di sini, Rabu lalu.
Ditemui di dalam longkang, mayat mangsa berusia 15 tahun itu ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan leher serta tangan dijerut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu daripada pengurus ladang terbabit pada pukul 2.45 petang.
“Hasil siasatan di tempat kejadikan mendapati mangsa dalam keadaan tangan dan leher diikat dengan pita pelekat berwarna hitam.
“Turut terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa iaitu koyakan pada bahagian kepala sebelah kiri dipercayai disebabkan objek keras.
“Mayat perempuan berkenaan kemudianya di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya hari ini.
Jasmin berkata, hasil siasatan pada hari yang sama, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga asing berusia 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes ini.
“Polis turut merampas beberapa barang daripada suspek untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE