Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
SEREMBAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang mengenal pasti fasiliti sukan di bawah kementerian itu di seluruh negara yang dilihat perlu dibaik pulih semula.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, baik pulih tersebut perlu dilakukan kerana pihak kementerian tidak mahu pembangunan sukan terutama di peringkat akar umbi tergendala ekoran kekurangan fasiliti malah kemudahan sukan yang sedia ada pula berada dalam keadaan tidak baik.
“Pembangunan sukan tergendala mungkin akibat fasiliti yang agak terhad. Kita ada banyak bakat berpotensi, bukan hanya dalam sukan tumpuan tetapi dalam sukan-sukan lain juga, mungkin kita tidak dapat menemui mereka kerana fasiliti yang kurang mencukupi.
“Kalau fasiliti kurang, kuranglah penglibatan jadi isu fasiliti ini cabaran yang besar. Ia akan sentiasa diperhalusi dan diteliti semula, terutama dalam memulihkan baik pulih fasiliti sedia ada sebelum kita bina yang baharu.
“Tumpuan adalah untuk memulihkan fasiliti yang ada, KBS sudah dan sedang mengenal pasti untuk dibaik pulih untuk manfaat bersama. Ada banyak dan ia akan dibaik pulih secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Fin Swimming Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Pertama di Pusat Akuatik Negeri, Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Negeri Sembilan, Zul Fadhli Abd. Aziz dan Presiden Persatuan Finswimming Malaysia, S. Ravivarma.
Sementara itu, beliau beliau percaya lebih ramai atlet dan bakat baharu dalam sukan fin swimming di negara ini dapat dilahirkan hasil penganjuran pertandingan yang bersifat akar umbi.
“Sukan ini sudah dipertandingkan di Sukan Sea beberapa kali dan negara juga ada menghantar atlet. Pembangunan sukan ini masih baharu, tetapi saya percaya dengan adanya penganjuran pertandingan bersifat akar umbi, lebih ramai bakat baharu boleh diketengahkan, kita mahu sukan ini dapat diterima ramai supaya kemajuannya dapat digerakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE