fbpx

Dua penunggang motosikal maut selang dua jam akibat langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlanggar kerbau di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi di Pekan awal pagi tadi.

PEKAN – Gara-gara kerbau dua nyawa melayang dalam kejadian kemalangan di dua lokasi berasingan di daerah ini selang dua jam.

Kejadian pertama berlaku pada pukul 12.20 tengah malam semalam di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik mengorbankan seorang lelaki manakala kejadian kedua pada pukul 2 pagi tadi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi mengorbankan seorang pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian pertama berlaku ketika mangsa Mohd Azlan Abdul Aziz, 42, dalam perjalanan menunggang motosikal dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kejadian motosikal dinaiki mangsa terbabas jatuh ke dalam parit sebelah kanan jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya lokasi kejadian adalah jalan lurus satu lorong dua hala dan semasa kejadian tidak hujan dan lokasi kejadian gelap tanpa lampu jalan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian kedua pada pukul 2 pagi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi berlaku ketika mangsa Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime,18, dalam perjalanan menunggang motosikal dari Taman Permata menghala ke bandar Pekan.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kemalangan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan.

Katanya, bedah siasat akan dilakukan terhadap mayat mangsa selepas keputusan ujian Covid-19 diterima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI