fbpx

Anwar tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Dr. Wan Azizah selamat tiba di Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negara republik itu. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah selamat tiba di Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negara republik itu.

Anwar menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, ketibaan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

“Turut sama dalam lawatan ini, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd. Shaffieq.

“Saya mengharapkan lawatan ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara disamping meneroka peluang kerjasama baharu menerusi perbincangan bersama Presiden Joko Widodo, InsyaAllah,” ujar beliau.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar dan Dr. Wan Azizah berlepas pada pukul 12.53 tengah hari tadi dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semalam, Zambry pada sidang akhbar khas bersempena lawatan rasmi julung kali Anwar sebagai perdana menteri ke Indonesia memaklumkan bahawa sebanyak lapan memorandum persefahaman akan dimeterai di antara kedua-dua negara.

Memorandum berkenaan difahamkan akan ditandatangani ketika sesi kunjungan Anwar ke atas Joko Widodo di Istana Bogor yang dijangkakan berlangsung pukul 10 pagi esok.

Ujar beliau, sebahagian besar memorandum berkenaan akan melibatkan kerjasama pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) baharu Indonesia iaitu Nusantara kerana dijangka kesan pembukaan Nusantara memberi limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak.

Lawatan Anwar ke republik itu juga difahamkan akan membincangkan strategi bersama bagi melawan kempen anti minyak sawit Malaysia dan Indonesia di pasaran Kesatuan Eropah ketika ini selain turut berdiskusi berhubung isu sempadan darat dan maritim selain masalah pengambilan pembantu rumah Indonesia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI