DHAKA – Seorang wanita Filipina sekali lagi membuktikan ungkapan cinta melangkaui semua sempadan apabila dia memeluk Islam dan melakukan perjalanan ke Bangladesh untuk berkahwin dengan seorang lelaki tempatan di Lakshmipur, lapor portal berita Tribune Desk semalam.
Yoan Digusman Legumbai meninggalkan tanah kelahirannya dan sanggup datang ke Lakshmipur semata-mata untuk berkahwin dengan pilihan hatinya, Md Naimur Rashid.
Penduduk tempatan berpusu-pusu melihatnya semasa upacara ‘gaye holud’ iaitu majlis tradisi Bangladesh sebelum perkahwinan kelmarin di kampung Dakshin Hamchadi, Lakshmipur.
Md Naimur Rashid adalah anak kepada Nur Mohammad dan bekerja di sebuah syarikat swasta di Malaysia dan melalui pekerjaannya, dia bertemu Yoan Diguman Legumbai, anak kepada Ernesta Legumbai serta Imelda Legumbai sebelum mereka jatuh cinta.
Naimur dan Yoan memutuskan untuk berkahwin dan dia datang ke Bangladesh dengan meninggalkan tanah asal dan agamanya.
Yoan yang sebelum berkahwin merupakan penganut Kristian kemudian memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Nazifa Rashid Amira.
Naimur berkata, mereka telah bercinta sejak lapan tahun lalu dan mereka memutuskan untuk berkahwin dan datang ke Bangladesh untuk bercuti dan kemudian pulang ke Malaysia.
Yoan berkata dia sangat gembira untuk datang ke Bangladesh.
“Orang Bangladesh sangat peramah. Saya suka makanan dan budaya Bangladesh. Saya merancang untuk tinggal di Bangladesh secara kekal,” katanya. – Agensi