DUBAI – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kelmarin memperincikan peranannya dalam operasi antarabangsa untuk menangkap seorang rakyat Eritrea di Sudan yang dituduh menjadi penyeludup manusia paling dikehendaki di dunia.
Kidane Zekarias Habtemariam dituduh menjadi ‘raja’ penyeludup manusia dan mengendalikan sebuah kem di Libya di mana beratus-ratus imigran rantau Afrika Timur yang cuba menuju ke Eropah diculik, dirogol dan diperas ugut.
Habtemariam yang mana dua notis merah Interpol dikeluarkan terhadap dirinya oleh Ethiopia dan Belanda, diberkas pada 1 Januari lalu oleh polis Sudan dengan kerjasama pihak bekuasa UAE, kata pegawai Kementerian Dalam Negeri UAE, Saeed Abdullah al-Suwaidi kepada pemberita.
Warga Eritrea itu diburu polis Interpol sejak 2019 dan mempunyai reputasi sebagai seorang yang ‘kejam dan ganas’ terhadap imigran.
“Kami telah menutup salah satu laluan penyeludupan manusia paling utama ke Eropah yang memindahkan secara haram beribu-ribu pendatang tanpa izin dari Eritrea, Ethiopia, Somalia dan Sudan melalui Libya ke Eropah,” kata Saeed dalam satu kenyataan.
Penangkapan Habtemariam menyusul selepas siasatan bersama oleh Interpol dan UAE, bermula tahun lalu yang mengesan transaksi kewangan haram oleh saudara lelakinya.
Warga Eritrea itu kini berdepan perbicaraan di UAE kerana pengubahan wang haram, manakala pihak berkuasa akan menimbang kemungkinan dia diekstradisi selepas kes tersebut ditutup di UAE, tambah Saeed.
Habtemariam diberkas di Ethiopia dalam tahun 2020 tetapi dia melarikan diri daripada tahanan selepas setahun dan kemudian dihukum penjara seumur hidup dalam perbicaraan tanpa hadir.
Saeed berkata, penangkapan Habtemariam adalah permulaan untuk memburu saki baki rangkaian penyeludupan lelaki itu. – AFP