MERUPAKAN diskografi kedua SZA selepas Ctrl, SOS yang dirilis kepada pasaran global 9 Disember tahun lalu terkandung kualiti luar biasa dan sesungguhnya merupakan album terbaik yang pernah singgah ke deria pengetahuan penulis setakat ini.
Memuatkan 23 buah trek, apa lagi yang perlu dikatakan tentang album studio ‘sophomore’ SZA kali ini?
Bilangan lagu yang diselitkan dalam album sahaja sudah membuktikan bahawa ‘kerja muziknya’ bukan berstatus picisan.
Ketika ramai pelaku muzik ‘berkira-kira’ untuk menzahirkan album fizikal, SZA atau nama sebenarnya, Solána Imani Rowe itu dengan selambanya meletakkan 23 buah trek pada era digital yang sangat merunsingkan kini.
Nuansa album dibuka cermat menerusi trek berjudul SOS yang bertindak sebagai pengenalan kepada keseluruhan tema album.
SZA tahu apa kepakarannya. Dia handal melantunkan muzik dan vokal bertemakan R&B dan itu satu fakta yang terus diperkuat menerusi album kedua itu.
Komposi cemerlang
Kill Bill merupakan trek kedua dan kini dipasarkan sebagai single perdana album. Judul lagu, kalau tidak silap dipilih menerusi referens filem Kill Bill yang menjadi fenomena sekitar tahun 2003 dan tahun berikutnya.
Menerusi lagu terbabit, SZA berjaya menterjemahkan emosi seorang wanita yang amat menyayango mantan kekasih yang dibunuhnya. Bagi SZA, jika bukan dia yang dapat hidup dengan cinta hatinya, tiada orang lain yang bisa mendapatkan lelaki itu.
Itu antara intipati yang diselitkan dalam lagu berkenaan. Kedengaran psikopat? Ya. Adakah itu satu tema pukulan lagu yang mudah berkait dengan sesiapa yang mendengar? Ya.
Genius dari segi komposisi muzik dan tulisan lirik? Semestinya, ya.
Selain Kill Bill, banyak trek lain yang menjadi kegemaran penulis. Trek kelapan berjudul Snooze tidak terkecuali. Lagu tersebut menyelami perasaan sesiapa yang mendengar untuk berada dalam ‘momen’ orang tersayang.
Pada bahagian ‘bridge’, ditonjolkan dengan cemerlang tanpa terlalu perlu bekerja keras bahawa SZA membawa suara seseorang yang ingin sentiasa disayangi.
Penulis secara peribadi sangat terbuai dengan lantunan vokal SZA yang amat berbeza dengan penyanyi kulit hitam lain.
Vokal, simbol kebanggaan
Vokal yang dipertonjolkan dalam ke semua trek membuktikan SZA yang merupakan seorang Muslim menetap di Amerika Syarikat tidak terikut-ikut dengan gaya nyanyian penyanyi lain. Orang ingin menyanyi terpekik terlolong, itu hak penyanyi lain, bukan dirinya.
Barangkali buat dirinya, SZA hanya ingin membikin muzik yang memberi ketenteraman kepada para pendengar seluruh dunia kerana itulah selayaknya kuasa muzik.
Dia tahu apa yang dikerjakan dan tidak perlu terlalu mencuba perihal di luar kemampuan.
Dia menyanyikan lagu R&B dan SZA melakukan perkara tersebut dengan gemilang. Tidak mustahil album berkenaan mampu berdiri di barisan hadapan karya yang menjadi sebutan untuk acara anugerah berprestij akan datang, Grammy dan sebagainya.
Untuk bercerita panjang tentang kualiti SOS, sememangnya tidak cukup sehalaman muka surat. Tinggal lagi, jika mahukan R&B yang segar, dengarlah muzik SZA dan salam kenal buat peminat yang masih tidak mengenali bintang seorang ini.