PETALING – Tular poster pakej pernikahan di Thailand bermula serendah RM2,000 termasuk bayaran kepada majlis agama, pengangkutan dan makan tengah hari bagi setiap pasangan.
Pakej tersebut meliputi pengurusan selama satu hari ke negara seberang itu.
Tinjauan Kosmo! di Facebook mendapati, poster tersebut telah meraih lebih dari 3,000 perkongsian sejak semalam apabila kecoh berita mengenai pasangan selebriti yang bernikah di Thailand.
Melihat kepada pakej lain yang ditawarkan, dengan menggunakan modal RM3,500, pasangan bakal pengantin bakal mendapat kemudahan tiga hari dua malam di Narathiwat.
“Pakej termasuk nikah di Narathiwat dan terus ke Songkhla untuk surat sokongan konsul.
“Termasuk bayaran majlis agama, pengangkutan, penginapan (hotel), makan tengah hari, malam serta sarapan pagi disediakan,” jelas poster itu.
Dalam pada itu, dimaklumkan juga segala urusan pernikahan akan dikendalikan oleh pihak profesional dan pengalaman.
“Pernikahan sah mengikut syarak dan dokumen di terima oleh kerajaan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE