fbpx

Orang ramai gesa wajibkan semula pakai pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG termasuk kanak-kanak memakai pelitup muka semasa berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur baru-baru ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

SHAH ALAM – Segelintir penduduk mahu tindakan drastik dilakukan kerajaan termasuk mewajibkan semula pema­kai­an pelitup muka kepada orang awam serta pelancong di semua lokasi di negara ini berikutan kebimbangan dua varian baharu Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7.

Seorang penduduk, Jasmin Suraya Hashim, 32, berkata, kemunculan dua varian baharu tersebut tidak boleh dipandang mudah seperti pada awal kemun­culan virus va­rian tersebut dua tahun lalu.

Dia yang mengakui bimbang berkata, sekatan ketat di bahagian pintu masuk belum dapat menjamin memandangkan virus tersebut boleh menjangkiti terutama kepada mereka yang belum menerima sebarang vaksin.

“Sekarang ini kelebihan dite­rima penerima vaksin juga hampir diterima yang belum divaksin. Semua lokasi kembali rancak dengan manusia dan pemakaian pelitup itu amat penting sebagai ‘pendinding’ paling mudah.

“Jadi, daripada kita terus bimbang adalah wajar pelaksanaan pelitup muka itu dikembalikan semula,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kedai mendapati pelitup muka masih dibeli sebagai ke­perluan asas dalam fasa peralihan ke endemik ini.

Seorang pekerja kedai mahu dikenali Wanda, 25, memaklumkan secara purata sebanyak 10 kotak pelitup muka dibeli sama ada individu atau kumpulan demi keperluan mereka.

“Ada yang beli sebab mahu diberikan kepada surau atau majlis tertentu. Bagi saya, pelitup muka masih diperlukan sebagai langkah pertama mengelak terkena Covid-19,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur mendapati, rata-rata pe­ngunjung masih selesa memakai pelitup muka walaupun kelonggaran sudah lama diberi kerajaan.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Erlina, 41, ber­kata, pemakaian pelitup muka adalah penting bagi men­jadi benteng untuk mengekang penularan varian baharu Covid-19.

“Pemakaian pelitup muka adalah sangat bagus dan diga­lakkan terutamanya dalam situasi masa sekarang dengan risiko penularan makin me­ningkat,” katanya.

SEORANG peniaga orang kelainan upaya (OKU) menjual pelitup muka di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Seorang pe­ngunjung, Dayangku Suryani Yasin berpendapat pemakaian pelitup muka dapat melindungi mereka daripada varian baharu serta berasa le­bih selamat jika berada di lokasi tumpuan awam.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Norizan Amir, 58, berkata, sebagai langkah berhati-hati masyarakat digalakkan untuk memakai pelitup muka terutama bagi mereka yang bergejala.

“Bagi saya, pemakaian pelitup muka adalah bergantung kepada diri individu. Bagaimanapun, adalah sangat digalakkan untuk memakai pelitup muka di tempat sesak dan sekiranya bergejala seperti batuk, demam dan sebagainya,” jelasnya.

Seorang pelancong dari Maldives, Irene, 38, berkata, setiap kali keluar rumah, dia akan memakai pelitup muka terutama­nya di kawasan yang sesak.

“Saya akan tetap memakai pelitup muka walaupun ada kelonggaran terutama di tempat yang sesak kerana penyakit itu boleh menjangkiti bila-bila masa dan sesiapa saja,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­niaga, Muhd. Shukri, 47, berkata, pemakaian pelitup muka wajar diwajibkan semula kerana pelancong dari negara China juga akan dibenarkan masuk ke negara ini.

“Agak merisaukan juga kerana saya sendiri penjaja dan setiap hari bertemu dengan ramai pe­ngunjung.

“Sama ada takut atau tidak, itu perkara kedua kerana kami terpaksa meniaga untuk mencari rezeki,” jelasnya yang mengakui sudah tiga kali terkena jangkitan Covid-19.

Susulan itu, dia mencadangkan agar pemeriksaan yang ketat sebelum membenarkan pelancong dari China atau negara luar memasuki negara ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI