fbpx

Malaysia yakin hadapi Thailand di Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON (kiri) dan pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan bercakap pada sidang akhbar menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

SKUAD Harimau Malaya akan melayan kunjungan penyandang juara, Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon sedar perlawanan separuh akhir pertama pastinya getir memandang­kan skuad Gajah Perang yang dibimbing oleh Alexandre Pol­king merupakan jaguh di Asia Tenggara.

Pan-gon menegaskan, meskipun cukup menghormati pasukan Thailand, namun jurulatih dari Korea Selatan itu kekal yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya yang disifatkannya sebagai individu pintar.

Jelas beliau, skuad Harimau Malaya tidak memerlukan tempoh lama untuk menyerap falsafah bola sepak diterapkan selain menterjemahkan setiap percaturan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan dengan begitu baik sekali.

“Saya rasa pemain saya cukup bijak, mereka dapat sesuaikan diri dengan cepat walaupun tidak ada masa panjang untuk terapkan taktikal dalam latihan. Setiap kali kami buat perancangan, mereka ‘cepat tangkap’ apa yang jurulatih mahukan,” kata­nya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Dalam pada itu, Pan-gon menegaskan, tiada gunanya untuk gentar dan terlalu memikirkan tentang strategi yang bakal digunakan oleh pasukan lawan kerana beliau yakin pembantunya sudah berusaha keras untuk menyediakan data penting, sekali gus mengekang kemaraan skuad Gajah Perang.

“Kami semua tahu bahawa pasukan Thailand berada di ranking lebih baik dan kami juga perlu hormat dengan apa yang mereka sudah lakukan sejak beberapa tahun ini termasuk ketika menjuarai pertandingan Piala AFF.

“Semua pemain begitu teruja dan kami akan gunakan segala kelebihan untuk cuba memenangi perlawanan esok (malam ini), malah kami juga akan fokus kepada persiapan sendiri.

“Jadual pertandingan agak menyukarkan, namun kami ada jurulatih yang membuat analisa tentang Thailand. Jadi, kami akan sediakan data buat para pemain,” katanya.

Berdasarkan rekod enam pertemuan lalu, Harimau Malaya menang empat kali termasuk kejayaan 5-3 pada penentuan penalti semasa perlawanan Piala Raja Thailand, September tahun lalu, manakala dua lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI