TIDAK dinafikan penyandang juara, Thailand menjadi pasukan pilihan pada Piala AFF 2022, namun bukan bermakna skuad Harimau Malaya tidak mampu membaham pasukan Gajah Perang pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon sudah menyemat keyakinan tersebut ke dalam diri anak-anak buahnya yang disifatkan sebagai individu pintar kerana mampu menyerap falsafah bola sepak dalam tempoh pantas dengan harapan diterjemahkan sebaik mungkin pada malam ini.
“Saya rasa para pemain saya cukup bijak, mereka dapat sesuaikan diri dengan cepat walaupun tiada masa panjang untuk terapkan taktikal dalam latihan. Setiap kali kami buat perancangan, mereka cepat tangkap apa yang jurulatih mahukan,” kata Pan-gon.
Sementara itu, pengendali pasukan Thailand, Alexandre Polking berpendapat skuad Gajah Perang bertuah dengan situasi semasa Stadium Nasional Bukit Jalil apabila kurangnya suara sorakan 21,000 penyokong yang mungkin mampu memberi impak kepada pertembungan malam ini.