MANCHESTER – Manchester United dinasihatkan supaya tidak menandatangani khidmat penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane yang diangggap sebagai pembaziran serta tidak memberikan mereka banyak manfaat.
The Red Devils dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain di posisi penyerang sejak beberapa bulan lalu ekoran pemergian Cristiano Ronaldo sekali gus menyebabkan tugas penggempur diletakkan kepada Marcus Rashford dan Anthony Martial ketika ini.
Situasi itu menyebabkan nama Kane juga dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ketika kontrak semasanya akan berakhir pada 2024, namun prestasinya cukup baik ketika ini apabila meledak 16 gol dalam 25 penampilan.
Biarpun perkembangan itu dianggap positif buat United, namun bekas pemainnya, Paul Parker memberi amaran kepada kelab itu supaya memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan mendapatkan Kane.
“Saya sentiasa berfikir bahawa United tidak perlukan Kane. Mereka memerlukan seorang penyerang tulen dan bukannya pemain tengah seperti yang Kane lakukan.
“Ia akan menjadi satu pembaziran dan keputusan yang salah jika pergi mendapatkan Kane. Apa yang Kane mampu lakukan sudah pun dilakukan oleh Bruno Fernandes dan Casemiro,” ujarnya.
Sementara itu, bekas pemain pertahanan kiri United, Mikael Silvestre menggesa United segera mendapatkan seorang lagi penyerang kerana percaya Rashford memerlukan rakan gandingan di bahagian serangan untuk memberikan aksi yang lebih sempurna.
– AGENSI