fbpx

Budak tular conteng kereta awam dicari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kelibat seorang kanak-kanak yang bertindak menyembur beberapa kenderaan awam dengan cat hitam semalam.

BALIK PULAU – Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak dipercayai lelaki yang tular apabila bertindak menyembur cat pada bahagian pintu beberapa buah kereta awam di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan yang tidak senonoh.

”Pada 6 Januari (semalam) terkesan satu posting yang dimuat naik dalam akaun Facebook inforoadblock berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dipercayai melakukan perbuatan vandalisme.

”Kejadian tersebut berlaku di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas pada 6 Januari dan terdapat lima laporan polis berhubung isu sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai beberapa buah kereta yang disembur cat berwarna hitam dengan perkataan tidak senonoh.

Kamarul Rizal berkata, siasatan awal polis mendapati perbuatan itu disyaki dilakukan seorang suspek kanak-kanak antara pukul 2 hingga 2.30 petang.

”Menurut salah seorang pemilik kenderaan, ini merupakan kejadian pertama sepanjang tempoh tiga tahun dia tinggal di situ.

”Pemilik kenderaan menyedari kejadian ini apabila ingin kembali ke rumah setelah pulang dari kerja di kilang berdekatan pada pukul 5 petang dan dia terus membuat laporan polis berhubung kes ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

”Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan, sekiranya orang awam mempunyai maklumat mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Wan Muhammad Syamim Wan Azmi di talian 04-8662222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI